Najib menjalani tahanan rumah selepas berjaya melangsaikan denda RM50 juta yang ditetapkan dalam Perintah Bersyarat oleh YDPA. -fotoBERNAMA
JABATAN Peguam Negara (AGC) menegaskan pendiriannya bahawa keputusan Yang di-Pertuan Agong berhubung perintah tahanan di rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh dicabar di mahkamah.Menerusi kenyataan pada Selasa, AGC memaklumkan pihaknya sudah membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan Badan Peguam Malaysia bagi mencabar perintah berkenaan. Bantahan itu dibangkitkan ketika pendengaran pada 12 November lalu atas alasan keputusan yang dititahkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dicabar di mahkamah.Walau bagaimanapun AGC memaklumkan, hujahan kedua-dua pihak berhubung permohonan tersebut akan didengar pada 17 Mac 2027."Dalam hal ini, Jabatan Peguam Negara akan terus mempertahankan institusi diraja dan menjunjung Perlembagaan Persekutuan dalam setiap tindakan yang diambil," ujarnya.Sebelum ini, pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib di Langgak Duta, ditangguhkan sementara pada 6 November selepas AGC memaklumkan perlunya penelitian lanjut terhadap tafsiran perintah pengampunan bersyarat dan kesan perintah pelepasan mahkamah.Ketika itu, Najib dilaporkan sudah meninggalkan Penjara Kajang, namun AGC kemudian memaklumkan beliau perlu dikekalkan di tempat tahanan sedia ada sementara isu perundangan berkenaan diperjelaskan.Dalam tindakan berasingan, Badan Peguam memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 10 November bagi mencabar keabsahan keputusan yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.Badan itu turut memohon keputusan berkenaan dibatalkan serta pelaksanaannya ditangguhkan sekiranya kebenaran diberikan, sementara menunggu penyelesaian semakan kehakiman.Terdahulu, perintah tersebut dititahkan Yang di-Pertuan Agong dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Kali Ke-64.Pada 10 November lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd secara tahanan di rumah berkuat kuasa serta-merta.Ia berikutan Najib selesai menjelaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya pada 6 November.Untuk rekod, pembayaran itu merupakan antara perkara yang ditetapkan dalam pengampunan bersyarat dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 September lalu.Ekoran itu, Najib boleh menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.